Pemberian Barangan Bantuan Makanan DMart Kepada Peneroka Kesan Pelaksanaan PKP Akibat Covid19

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt dan terima kasih tidak terhingga Kami Anak Felda Malaysia ucapkan kepada pihak kerajaan dan Pengurusan FELDA serta Jawatankuasa Perunding Peneroka Kebangsaan (JKPP) di atas usaha bersama membantu 112,638 warga Peneroka FELDA yang terjejas kesan pelaksanaan PKP. Langkah FELDA meluluskan permohonan JKPP telah dipersetujui melalui Mesyuarat Khas BOD FELDA pada 23 April 2020 yang telah bersetuju meluluskan peruntukan bantuan bagi kesemua 112,638 peneroka dengan jumlah sumbangan barangan yang akan disediakan DMART senilai RM50 bagi setiap peneroka FELDA di seluruh negara.

Selain itu juga FELDA telah bersetuju untuk menyumbang peruntukan berjumlah RM953, 500 bagi membantu peneroka dan generasi baru yang sangat memerlukan dan terkesan sepanjang PKP dilaksanakan. Sumbangan tersebut juga disalurkan ke JKPP kebangsaan. Inisiatif membuat kutipan tabung bantuan yang telah ditubuhkan secara bersama oleh Felda United FC, JKPP, MBFM, KAF, KPF, Persatuan pegawai kanan FELDA, Kesatuan Pekerja-Pekerja FELDA dan PUSPANITA juga telah berjaya mengumpul kutipan berjumlah RM166, 499.00 yang juga turut disumbangkan ke JKPP kebangsaan menjadikan jumlah terkumpul bagi tabung tersebut senilai RM1, 119, 999.00. Melalui tabung ini pula dijangka seramai 28, 000 penerima kalangan warga peneroka dan generasi baru akan menerima sumbangan barangan keperluan senilai RM40 bagi setiap penerima.

Alhamdulillah inilah kekuatan warga komuniti FELDA. Adapun selain sumbangan di atas, masih terdapat pelbagai sumbangan yang diusahakan pelbagai NGO yang ada dalam FELDA, baik melalui PMKR, Foodbank atau badan2 lain yang turut bersama membantu dan menyumbang. Semoga Allah swt terus memelihara kebersamaan dan kebersatuan kita semua. Semoga Allah swt merahmati warga FELDA keseluruhannya.

Terima kasih dari KAF (Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia) buat semua.

Fakhrurrazi bin Mohd Habib
Presiden
Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *